Pages

✿ Sabar ✿

Wednesday, 22 June 2011

Lain Di Mulut , Lain Di Hati

Kita sering menilai seseorang berdasarkan percakapan dan penampilan mereka. Apakah persepsi kita apabila mendengar ungkapan berikut :
" Pintu bilik saya sentiasa terbuka, jika ada masalah jemputlah jangan malu, jangan segan " ?

Biasanya ungkapan sebegini benar-benar membuatkan kita rasa selesa dan amat senang sekali. Malangnya kadang-kala, ia sekadar kata-kata untuk menunjukkan sifat luaran yang ada pada seseorang itu. Dia mengharapkan supaya orang yang mendengarnya memberi penilaian dan persepsi yang positif terhadapnya.

Hakikat sebenarnya, apabila kita berjumpa dengannya untuk memberikan pendapat, pandangan dan mengutarakan masalah, berhujah dan sebagainya, kita akan dipandang serong, dicurigai, dikatakan bersikap negatif, pembangkang dan seumpamanya.

Kata-kata lain yang kta dengar ialah seperti " saya sebenarnya ikhlas, saya terima dengan hati terbuka " , " kritikan awak itu memang membina " , " buat apa saya tipu awak " , " kejayaan saya ini adalah kerana sokongan semua "  dan ungkapan lain yang sewaktu dengannya. Adakah kata-kata ini datang dari lubuk hati yang ikhlas? Amat menyedihkan jika kata-kata ini hanya dijadikan sebagai pemikat untuk menyedapkan telinga orang yang mendengarnya. Sebaliknya Lain Di Mulut, Lain Di Hati .

Kata-kata manis ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa dia memiliki hati budi yang sangat baik sedangkan hakikatnya tidak seperti yang diungkapkan. Manusia bersikap begini kerana hatinya tidak ikhlas berpunca daripada rasa sombong, ego, bangga diri, hipokrit, dan banyak lagi penyakit hati. Kedudukan , kuasa dan pangkat juga banyak mempengaruhi manusia untuk bersikap " Cakap tak Serupa Bikin " . Mereka berpura-pura jujur di hadapan kita tetapi bersifat telunjuk lurus kelengkeng berkait.
SIKAP BERDEPAN DENGAN GOLONGAN MUNAFIK
Orang yang ebrsifat begini jelas menunjukkan dia memiliki salah satu daripada sifat orang yang munafik iaitu berkata-kata tetapi dusta, seperti hadis Nabi s.a.w yang bermaksud :

" Tanda orang munafik itu ada tiga ; apabila berkata-kata ia berdusta, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila diberikan amanah dia mengkhianatinya " (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kehidupan harian kita ini memang di-kelilingi oleh mereka yang bersifat begini. Dalam al-Qur'an ada diterangkan bagaimana untuk menghadapi manusia munafik ini.

1. Bergantung Kepada Allah
Kita seharusnya jangan menghiraukan dan menuruti kehendak orang yang hipokrit ini kerana kebergantungan kita semestinya hanya kepada Allah sahaja. Kita tidak perlu bimbang dengan ancaman mereka dan bertawakal kepada Allah secara mutlak. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

" Dan janganlah kamu menuruti kehendak orang kafir dan munafik itu. Janganlah kamu hiraukan celaan mereka dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung (yang menyelamatkan kamu ) " ( Surah al-Ahzab 33: 48)

2. Elak Daripada Bersekongkol
Kita dengan mudah akan menuruti segala kehendak mereka dengan alasan mereka berkuasa. Kita ini mentimun mereka durian. " Digelek kita kena, mengelek pun kita kena "  Kadangkala kita lebih takut berbanding Allah, kita lebih tunduk atas perintah mereka berbanding perintah Allah. Ruang yang kita berika meningkatkan lagi sifat hipokrit dan keegoan mereka sehinggakan mereka terlupa kepada kekuasaan Allah.

Ingatlah bahawa kita semestinya takut kepada Allah berbanding takut kepada manusia. Allah menegaskan dalam Al-Qur'an yang bermaksud :
" Wahai Nabi, bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang kafir dan munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana " .
                                                                                                            ( Surah al-Ahzab 33 : 1 )
3. Bersikap Keras
Berkeras untuk tidak menuruti kehendak mereka. Kita membantah mereka bagi menunjukkan bahawa kita memiliki prinsip hidup yang berlandaskan syariat. Kita tidak boleh akur membabi buta, penilaian perlu kita lakukan untuk memastikan bahawa kita boleh akur jika ia tidak melanggar hukum.
Lebih keras lagi, kita patut melawan mereka jika sampai ke tahap kritikal seperti melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

" Wahai Nabi s.a.w berjihadlah (melawan) orang yang kafir dan munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. tempat mereka ialah neraka jahanam dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya " ( Surah al-Tawbah 9 : 73 )

Ingatlah bahawa Allah amat membenci orang yang memiliki sifat seperti mana golongan munafik, pandai memainkan kata-kata manis di hadapan tetapi penuh dengan kebencian di belakang. Bagi mereka yang terpaksa bergaul dengan golongan ini, janganlah rasa takut dan bimbang kerana kebergantungan kita hanya kepada Allah. Kita harus berjuang mengutamakan perintah Allah daripada menuruti kehendak mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan mereka yang bertaqwa. (^,*)

No comments: