Pages

✿ Sabar ✿

Tuesday, 21 June 2011

Penyakit Rohani

Perkataan rohani dalam bahasa melayu sering dikaitkan dengan hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sesuatu unsur peribadi manusia yang paling unik serta tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Tetapi gejala dalam kerjayanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya : menangkap dan menyimpan pengertian , mengingat, berfikir, berkehendak, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna :

a) Berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati, jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam, tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan.

b) Ianya berupa suatu sifat yang halus yang ada pada diri manusia untuk dapat mengetahui segala sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian.
Keterangan tentang kewujudan penyakit rohani itu terkandung di dalam firman Allah s.w.t menerusi ayat al-Qur'an yang bermaksud : " Di dalam hati mereka (golongan munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki) maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran) "
 (Al-Baqarah : 10)

1. Lemah Daya Kerja
Jika seseorang itu sihat rohaninya dia akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, gigih berkerja serta bersemangat untuk berjaya dan mencapai kebaikan. Orang yang menghidap penyakit rohani pula akan nampak kemundurannya, kurang kemampuan bekerja serta hilang ghairah dan semangat untuk maju. Sifat yang menonjol dalam dirinya hanyalah kelemahan dan kemalasan.

2. Tumpul Fikiran
Orang yang sihat rohaninya mudah menangkap kebenaran, hatinya selalu dipancari cahaya kebenaran. Adapun orang yang sakit rohaninya, akan terlihat adanya sifat kebodohan dan kelemahan dalam berfikir sehingga susah untuk menerima kebenaran. Maka begitu sukar menerima kebenaran walau dengan perbandingan atau perumpamaan kerana dalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup mata hatinya.

3.Kedangkalan Perasaan
Orang yang sihat rohaninya ialah orang begitu berkesan apabila mendapat nikmat dan rahmat Allah. Dia akan menerima nikmat Allah dengan penuh kesyukuran sekaligus memantapkan lagi keimanan terhadap Allah s.w.t. Adapun bagi orang yang tidak pandai bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah dianggap sebagai memiliki perasaan dangkal dan kelemahan zauq. kedangkalan perasaan terhadap nikmat Allah itu dapat dipandang sebagai gejala penyakit rohani.

4. Gelisah Dan Keluh Kesah
 Orang yang sihat rohaninya terdapat ketenangan pada air mukanya. Sebaliknya orang yang mengalami gangguan penyakit rohani terpapar pula melalui sikapnya yang diliputi kegelisahan dan keluh kesah. Keadaan gelisah dan keluh kesah inilah merupakan cerminan kecelaran mental.

5. Liar Terhadap kebenaran
Salah satu tanda ketenangan jiwa ialah kecenderungan mencari dan menerima kebenaran serta menolak kebatilan. Fikirannya tenang dan sentiasa menimbang sesuatu itu dengan baik. Sebaliknnya orang yang liar terhadap kebenaran dan tidak senang mendengar mutiara-mutiara hikmah dapat dipandang sebagai orang yang terkena penyakit rohani.
6. Buruk Sangka
Salah satu penyakit rohani ialah prasangka-prasangka ayang buruk. Antara lain, anggapan yang bukan bukan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Selain mempunyai prasangka buruk terhadap Allah dan Rasul-Nya dia juga mempunyai prasangka buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan yang munasabah (hatinya selalu curiga terhadap sesuatu).

7. Suka Menghasut (Fitnah)
Orang yang sihat rohaninya selalu rindukan ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Sebaliknya orang yang berpenyakit rohani suka menghasut serta menimbulkan pergaduhan dan kekecohan. Sebap itulah orang yang suka menghasut dan menimbulkan masalah di dalam masyarakat dianggap sebagai mempunyai penyakit rohani.

8. Menaruh Hati Terhadap Wanita Bersuami
Salah satu gejala penyakit jiwa ialah menaruh hati dan berkeinginan terhadap wanita yang sudah bersuami. Kerana itulah Allah s.w.t memberi nasihat kepada isteri-isteri Nabi s.a.w menerusi firmannya yang bermaksud :

" Wahai isteri-isteri Nabi ! Kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain jika kamu tetap bertaqwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya ( menaruh tujuan buruk kepadamu) dan (sebaliknya) berkatalah dengan kata-kata yang baik(sesuai dan sopan) "  (Al-Ahzab " 32)


Di antara ahli tafsir, ada yang mentafsirkan pengertian penyakit dalam ayat tersebut sebagai syahwat zina . Keterangan ini dikira sebagai logik kerana setiap orang yang normal fikirannya tentu dapat membezakan mana yang baik dan buruk, mana yang halal dan haram. Orang yang cenderung kepada hal-hal yang tidak wajar serta menyimpang dari nilai-nilai normal, maka dia dianggap sebagai memiliki kelakuan yang tidak normal.

Adakah kita termasuk dalam penyakit rohani yang terdapat di atas? Tepuk dada tanya hati...

( Be Continue :: Kerosakan Yang Di Timbulkan Oleh PENYAKIT ROHANI )

No comments: